Isnin, 20 Oktober 2008

‘Jangan Salahkan Wanita’

‘Jangan Salahkan Wanita’

Saudara Pengarang,
All Women’s Action Society (AWAM) merasa terpanggil untuk memberi kenyataan
balas terhadap surat pengarang yang disiarkan oleh Utusan Online yang ditulis oleh
Muhammad Abdul Wahab yang bertajuk ‘MAS Tidak Rugi Pramugari Berpakaian
Sopan’ bertarikh 20 April, 2005. AWAM terkilan dengan pandangan dan tanggapan
negatif yang diberikan oleh penulis terhadap wanita.
Jelas, penulis mempunyai pandangan bahawa wanita mesti bertanggungjawab kerana
menimbulkan provokasi melalui pakaian dan gerak laku seksi dan seterusnya
mengundang masalah zina, seks rambang, rogol dan bunuh yang sedang menjadi-jadi
sekarang ini.
Penulis juga mengeluarkan kenyatan bahawa, demi kesejahteraan manusia, lelaki dan
perempuan perlu berpakaian sopan menurut ciri-ciri yang ditetapkan oleh agama supaya
tidak timbul rangsangan-rangsangan yang tidak diingini dikalangan mereka.
AWAM ingin menegaskan bahawa jenayah seksual yang kian menjadi-jadi ini berlaku
bukan kerana faktor wanita berpakaian seksi. Seksi adalah pandangan subjektif yang ada
pada setiap individu. Setiap manusia , tak kira lelaki mahupun wanita punya kriteriakriteria
tertentu yang mereka anggap atau lihat sebagai ‘seksi’. Pandangan yang subjektif
boleh juga menyebabkan seorang wanita yang menutup setiap inci tubuhnya juga boleh
dianggap ‘seksi’. Dengan itu, jelas bahawa tiada kayu pengukur untuk mengatakan
bahawa apa bentuk atau jenis pakaian wanita yang dianggap seksi. Ia bergantung kepada
imaginasi dan kreativiti individu terbabit.
Dengan itu, penulis iaitu Muhammad Abdul Wahab tidak boleh membuat kesimpulan
bahawa jenayah seksual berlaku kerana pakaian mangsa yang seksi. Beliau juga
memberitahu fakta yang penting bahawa jenayah seksual tidak mungkin berlaku jika
keadaan dan suasana yang tidak mengizinkan. Kenyataan ini jelas menolak pendapat
beliau bahawa jenayah seksual berlaku kerana kehendak nafsu berahi lelaki. Kenyataan
yang dikeluarkan oleh beliau iaitu ‘Realitinya setiap lelaki remaja atau dewasa, tanpa
mengira bangsa atau agama, pasti terangsang oleh oleh pemandangan (pakaian seksi)
seperti itu kecuali mereka yang perlukan rawatan doktor atau khidmat tukang urut
tradisional’ adalah tidak benar kerana kehendak seksual lelaki dapat dikawal. Jika tidak,
bagaimana hendak menjelaskan jenayah seksual hanya berlaku ketika peluang memberi
ruang untuk mereka melaksanakan niat mereka. Jelas, jenayah seksual seperti rogol
adalah jenayah terancang. Lelaki tidak melakukan jenayah seksual kerana seks tetapi
untuk menunjukkan kuasa ke atas wanita.
Pakaian seragam pramugari MAS tidak harus ditukar hanya kerana lelaki berhak
menentukan cara wanita berpakaian. Rasionalnya ialah, wanita tidak sepatutnya
mengubah penampilan pemakaiannya semata-mata untuk mengelakkan berlakunya
jenayah seksual terhadap diri mereka. Tanggungjawab ini, perlu dipikul oleh kaum lelaki
untuk mengawal dan menghindarkan berlakunya jenayah seksual dan bukannya kaum
wanita untuk mencegahnya.
AWAM juga berharap bahawa anggota parlimen yang lain akan mengambil langkah
untuk memahami betapa kompleks isu yang berkaitan dengan jenayah seksual terhadap
wanita. Ianya diharapkan dapat menjelaskan salah faham dan pendapat songsang orang
ramai dalam menilai permasalahan ini.

Tiada ulasan: